Papan Tanda Kedai Chong Car Air Conditioner...

3 bulan kebelakangan ini memang ada panas... Angin yang keluar dari aircon, kadang-kadang panas, kadang-kadang sejuk, kadang-kadang keluar wap putih.. Tapi kena sabar sebab tiada masa untuk pergi servis. Dan akhirnya, hari ini masa yang ditunggu-tunggu tiba. Apa lagi, bergerak saya ke Chong Car Air Conditioner. Kedai membaiki aircon kereta, tak kira besar atau kecil. Tempat ni berdepan saja dengan Bangunan SESB Cawangan Tawau (Kawasan Kuhara) dan bersebelahan dengan ESSO Kuhara.


Stesen Minyak ESSO Jalan Kuhara....


Bangunan SESB betul-betul bertentangan dengan kedai ini...

Sampai saja (lebih kurang jam 9:30 pagi), saya disambut oleh salah seorang pekerja Mr Chong dengan soalan pendek, "Kenapa boss?".. Hehehe... Kalau duit punya pasal, semua pun boss... Apa pun, saya bagi tau semua masalah berkaitan. Dua orang pekerja Mr Chong yang ada dalam kedai tersebut pun mulalah buat kerja diorang. Cek sana, cek sini. Lepas tu buka sana, buka sini... Memang ramai orang rekomen tempat Mr Chong ni...

Dan macam biasa, kalau servis aircon, semua kena buka. Dan, cuci...


Ada sejenis bahan pencuci khas yang disemburkan kepada cooling coil ni... Semua kotoran keluar dengan sangat mudah...


Dari depan ka... Dari belakang ka... Tapi memang semua kotoran keluarla...


Siram dulu....


Lepas tu guna air tekanan tinggi... Cuci bersih-bersih ya...

Lepas tu nampaknya, cooling coil bocor. Kecik saja bocornya ni.. Macam hujung mata pensel kayu.


Tengok tu bocornya... Memang kecil bah ni...


Kebocoran kecil yang dibesarkan 20 kali ganda...

Apapun, lepas tu perbualan ini dirakamkan...

Mr Chong: Amacam boss, mau tukar atau welding (tampal)?
Saya: Kalau tampal macam mana?
Mr Chong: Kalau welding, saya tidak guarantee... Mungkin 1 minggu, mungkin 1 bulan mesti ada bocor lagi, tapi tempat lain.
Saya: Itu macam ka? Harga macam mana? Yang baru berapa? Welding berapa?
Mr Chong: Kalau welding, RM180, tiada guarantee. Kalau baru RM420 plus 1 tahun guarantee.
Saya: Hmm... Tunggu sekejap aa... (Saya pun sibuklah telepon kawan minta pendapat sikit.. dan keputusannya...)

Selepas 5 minit...

Saya: Mr Chong... Saya tukar baru la... Ada kurang harga lagi ka?
Mr Chong: Bagi RM400 la sama itu guarantee 1 tahun...
Saya: Oklah Mr Chong...

Selepas lebih kurang 1 jam kemudian, cooling coil yang baru siap dipasang dan... Walla... Aircon kembali sejuk.. Lagi sejuk dari sebelum ini... Iya la... RM400 pun 400 la... Yang penting balik kampung nanti tiada masalah. Sekarang ni tengah kuat hujan bah... Susah juga tu kalau berkabus dalam kereta.....


Cooling coil yang baru, jenama PATCO juga.. Yang lama dibelakang...

Terlanjur cerita pasal aircon kereta ni, biarlah kita cerita terus... Di sini dikongsikan beberapa maklumat berdasarkan kepada pengalaman saya dan maklumat dari internet...



APA ITU SISTEM AIRCON KERETA?

Sistem aircon kereta merupakan suatu sistem aliran gas tertutup. Gas yang dimaksudkan ialah gas aircon iaitu gas R134a. Gas aircon ini akan bergerak dari compressor ke cooling coil ke gas filter ke radiator condensor dan kembali semula ke compressor. Secara asasnya ianya boleh diterangkan seperti berikut: Gas dimampatkan oleh compressor kemudian gas ini akan dialirkan ke bahagian dalam kereta melalui cooling coil yang berada biasanya dibawah dashboard. Pada masa yang sama blower akan meniup angin melalui cooling coil dan membebaskan angin yang sejuk. Selepas itu gas ini perlu disejukkan kembali dan akan melalui radiator kondenser yang akan menyejukkan gas tersebut.


Gambarajah ringkasan sistem aircon kereta...

MASALAH YANG SERING BERLAKU

Sekiranya ada kerosakan yang berlaku kepada sistem atau pun peralatan aircon yang terlibat, anda mungkin akan menghadapi masalah berikut:

1. Angin panas atau aircon langsung tak sejuk.
  • Compressor tak berfungsi - samada masalah wiring atau compressor dah rosak
  • Compressor takde minyak dan bearing yang rosak
  • Cooling coil bocor
  • Radiator condenser bocor
  • Kipas radiator condensor tidak berfungsi dengan baik atau rosak
  • Terdapat hose penyambungan yang bocor
  • Gas filter mungkin tersumbat.

2. Aircon tak cukup sejuk. (Minta mekanik melaraskan suis on dan off supaya aircon 'on' lebih lama)

3. Aircon tak sejuk selepas beberapa lama memandu. (Suis yang mengawal ‘on’ dan ‘off’ aircon tidak dapat berfungsi dengan baik atau injap tersumbat. Tindakan: Matikan kereta seketika kemudian hidupkan semula)

4. Ada air menitik. (Ada tempat yang tersumbat)

5. Angin aircon berbau busuk. (Cooling coil basah, berhabuk, berkulat dan berkemungkinan ada benda organik sedang mereput dalam sistem tersebut)

6. Asap putih keluar (Asap putih adalah kotoran dan wap air yang terbentuk apabila gas terlalu sejuk)

7. Corong keluar angin aircon kelihatan berminyak. (Cooling coil anda telah mengalami kebocoran. Gas aircon atau gas R134a adalah sebatian 1,1,1,2-Tetrafluoroethane yang juga merupakan bahan sintetik daripada petroleum. Oleh itu apabila ianya melitupi sesuatu permukaan, ianya akan kelihatan berminyak. INGAT!! Gas ini digunakan sebagai reacreational drugs - dadah hiburan)

8. Tiada angin langsung (Blower rosak)

CADANGAN:
1) Servis aircon minimum dua tahun sekali. Masa servis pastikan mekanik periksa: Minyak compressor, cooling coil dan gas filter.
2) Jangan selalu laraskan thermostat (suis aircon) pada suhu tersejuk kerana ini boleh merosakkan injap cooling coil.

RUJUKAN:
http://gilekereta.blogspot.com/2009/12/tip-penjagaan-kereta-sistem-aircon.html
http://kerosakankereta.blogspot.com/2009/07/pasal-aircond-kereta.html
http://kerosakankereta.blogspot.com/2010/10/kerosakan-kereta-servis-air-cond.html
http://en.wikipedia.org/wiki/Refrigerant
http://autos.groups.yahoo.com/group/automobil/message/3768
http://en.wikipedia.org/wiki/1,1,1,2-Tetrafluoroethane

CATATAN: Sekarang ni (2011), servis aircon lebih kurang RM120, kalau isi gas sahaja, RM45... Rasanya kalau harga barang makanan naik, harga servis pun naik... Pening-pening...