Program ini dianjurkan oleh pihak pentadbir dan semua ketua unit, ketua bengkel dan ketua panitia diwajibkan hadir... Jadi secara otomatik, saya termasuklah ni...

Penceramah yang dijemput untuk program ini ialah Penolong Pengarah BPTV, Encik Ismail dan Bahagian ERT BPTV, Puan Azlina (Nama lengkap saya tidak tahu bah!!).

Dalam program ini, Encik Ismail menyarankan agar semua guru menjadikan kajian tindakan sebagai satu alat untuk mengkaji kelemahan dan seterusnya memperbaiki kelemahan tersebut.

Beliau turut menekankan kepentingan tindakan dalam kajian tindakan. Kajian tanpa tindakan tidak akan memberikan apa-apa keuntungan. Oleh itu, tindakan adalah lebih penting daripada kajian itu sebenarnya, jelas beliau lagi.

Program ini mengambil masa lebih kurang dua jam dan bagi saya ia sedikit sebanyak dapat memberikan idea dan hala tuju sebuah kajian tindakan. Maklumat lain yang dikongsi dan boleh saya ketengahkan disini ialah kajian tindakan telah banyak membantu guru-guru di Semenanjung untuk mendapatkan kenaikan pangkat yang lebih cepat. Dengan mengemukakan sebuah kajian tindakan yang baik dan asli, anda boleh terpilih untuk menyampaikan kajian tindakan tersebut ke seluruh Malaysia dan semestinya anda boleh mendapat pangkat GURU CEMERLANG dengan lebih cepat.

Secara peribadi, saya rasa ini adalah peluang yang baik tetapi sekiranya anda tidak dapat memberikan komitmen yang tinggi untuk menjayakannya kajian hanya akan tinggal kajian sahaja... tindakannya entah ke mana.

Apapun saya sangat berterima kasih kerana dapat menyertai program seumpama ini. Kepada guru-guru yang mempunyai banyak idea untuk menghasilkan kajian tindakan yang baik, anda seharusnya maju ke hadapan dan menyuarakan idea anda.



CATATAN: Mencuba lebih baik daripada tidak mencuba!!